June 29, 2009

0

Selamat Pagi Cinta

Tengahari tadi, selesai sahaja kelas yang ketiga, terus saya ke bilik pengetua. Bertanyakan tentang agenda mesyuarat PPSMI Rabu ini.
"Tuan Haji, ada apa-apa lagi yang nak ditambah?"
Sekilas beliau melihat tepat ke muka saya dan menyemak sekali imbas agenda tersedia.
"Saya nak tahu laporan tentang aktiviti PPSMI yang lepas".
Beliau menjawab ringkas tetapi cukup saya fahami. Maknanya saya perlu melakukan penambahan agenda seterusnya.
Sekembalinya saya ke bilik guru, terus mata terarah pada fail-fail PEKA yang sepatutnya disiapkan dalam minggu ini. Perkataan 'sepatutnya' yang sentiasa saya ingkari. Aduh...kerja yang jarang sekali ada waktu surutnya. Ligat tangan saya memasukkan borang-borang skor individu dalam setiap fail pelajar. Tidak sempat separuh disiapkan, loceng berbunyi lagi. Cukup. Saya harus berhenti untuk ke kelas seterusnya.
Kembali ke kelas seperti waktu-waktu sebelumnya. Menghadapi karenah pelajar yang bermacam-macam. Namun tetap jua saya harus energetik seperti di awal pagi tadi. Kerana saya seorang cikgu. Kerana tugas saya menghabiskan silibus tahunan. Kerana saya seorang Islam yang akhirnya tanggungjawab itu akan dipersoalkan Tuhan. 'Kerana' itu bukanlah nilaiannya. Ianya bukan lagi sekadar itu. Ianya adalah rasa cinta saya yang tidak pernah saya terfikirkan balasan. Cinta pada amanah yang diberikan ini.
Saya mungkin sahaja cikgu yang terlalu biasa pada mata-mata mereka yang memandang, mungkin sekali ilmu yang diajarkan itu terlalu sedikit untuk mereka. Tetapi itulah selaut cinta buat mereka yang saya didik. Cinta yang sepertinya mengalir terus dari dasar hati. Tanpa henti.
p/s: Selamat pagi cinta. Dua hari kebelakangan ini, instrumentalia inilah yang menemani tatkala sibuk menelaah pengajaran keesokan hari. Semacam ada 'jiwa' di situ. Tersentuh. Saya percaya segala-galanya indah dengan cinta.

June 28, 2009

2

Terbaik

Walau siapa pun, yang senantiasa dekat di hati, maka kegembiraannya kebahagiaan saya. Sedari dulu, begitulah saya. Hati terasa sangat puas bilamana melihat insan-insan yang disayangi gembira. Kepuasan itu kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya senantiasa mahu menjadi yang terbaik..Anak yang terbaik, cucu yang terbaik, kakak yang terbaik, sepupu yang terbaik, sahabat yang terbaik, cikgu yang terbaik dan hambaNya yang terbaik. Bila sahaja saya bukan yang terbaik, ketahuilah saya sedang mencuba untuk itu.


Dan saya sedang mencuba menjadi bakal isteri yang terbaik. Bertatih mensolehahkan diri. Walau saya bukanlah seorang ustazah kepada bakal suami yang bukan ustaz. Namun sedaya upaya saya cuba meletakkan Dia di baris yang paling hadapan.


June 27, 2009

0

Penat

Penat.

Satu perkataan yang saya rasakan begitu sesuai untuk menerangkan duduk keadaan saya tika ini. Saya begitu penat. Penat sepanjang lima hari di sekolah masih tersisa, ditambah penat dengan bebanan perasaan yang satu itu. Tidak sewajarnya itu saya anggap sebagai bebanan. Mungkin sahaja itu dugaan Allah. Hidup dengan jiwa seorang hamba takkan pernah sunyi dari dugaan dan ujian.

Dan penat untuk berpindah rumah dua hari ini. Rumah sedia ada yang saya duduki sekarang selalu sahaja dinaiki air. Kira-kira jika ditakdirkan banjir lumpur datang lagi, kami sudah tidak perlu tergesa-gesa berkemas dan menyelamatkan barang-barang berharga. Sayang untuk tinggalkan semua yang ada selama ini. Keterbiasaan menjadikan kita lebih senang begitu, dengan jiran-jiran begitu, dengan persekitarannya begitu, bahkan dengan udara paginya begitu. Yang begitulah membuatkan kita selesa, sehinggakan tertutup ruang untuk mencuba yang baru.

Terkadang yang baru, mungkin bukan pilihan yang terbaik. Namun ianya boleh jadi pilihan yang tepat. Perjalanan hidup tiada yang sempurna. Lompong-lompong selalu ada di mana-mana. Mendepaninya seadanya dan mungkin sekali ada ketikanya saya perlu menutup sebelah mata dan menutup lompong-lompong tersebut dengan kebaikan-kebaikan lain yang diberiNya.

Ya Allah, anugerahkan rahmat dan kesejahteraan yang sempurna ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, yang dengan berkatnya terhurai apa yang tersimpul, terlepas daripada segala kesusahan, juga ditunaikan segala hajat, dan tercapai keinginan, dan akhir hayat yang baik dan dicurahkan rahmat hasil keberkatan wajahnya yang mulia, kerahmatan dan kesejahteraan yang sempurna yang Engkaun anugerahkan Ya Allah, ke atas keluarga dan sahabatnya dengan kiraan setiap kerdipan mata dan juga hembusan nafas dan setiap bilangan ilmu yang ada bagiMu - Selawat Tafrijiyyah

Ibu kata semuanya dari hati. Kakak angkat pula berpesan tiada satu apapun yang boleh menolak takdir kecuali doa. Moga Allah makbulkan doa-doa saya.


June 20, 2009

1

Redha

Memang kesibukan ini terasa. Menjengah rumah selewat jam 6 petang sudah terlalu biasa. Siapa kata bergelar pendidik itu mudah. Secara teori, mungkin sekali jawapannya ya. Dalam sibuk kerja yang seakan tiada masa surutnya, saya tidak sempat untuk memikirkan perkara itu secara mendalam. Bukan sengaja mengelak, tetapi sebetulnya begitulah. Saya mahu mengikut arus...

Pagi tadi saya terima satu sms;

Awak redha kalau diizinkan Allah saya jadi suami awak?



Antara dua syarat yang diletakkan dalam Islam untuk perempuan menerima seseorang lelaki dalam hidupnya adalah beragama dan soleh sifatnya.

Cukuplah. Saya mahu letakkan itu sebagai jawapan teratas.

March 23, 2009

5

Muhammad Luqman



Muhammad Luqman, seindah nama. Setulus wajah bersih tanpa noda. Biarpun mengenalinya hanya dari sekeping gambar, rasa kasih itu jatuh jua. Dia masih belum mengerti apa-apa, belum juga mengenali siapa barangkali yang menulis tentangnya kini. Satu hari nanti kita pasti akan bersua. Dipanggil aunty barangkali. Ummi kamu perempuan yang sangat tabah. Membesarkan kamu dalam rahimnya pada saat-saat akhir tanpa abah kamu di samping. Dia yang begitu baik dan lemah lembut. Dia yang senantiasa bersabar dengan segala macam dugaan. Ummi kamu yang pernah sama-sama berkongsi cerita dan tidur sebantal. Biar senyuman kamu manis seperti ummimu. Menjadi penyejuk mata ummi, penenang jiwa abah.


Muhammad Luqman, rasa sayang itu sudah melekat pada kamu saat ummi mengkhabarkan kelahiranmu ke dunia ini. Muhammad Luqman, dewasalah kamu sebagai lelaki yang kuat peribadi, bijak dan menjadilah kamu anak yang mampu membalas pengorbanan ummi dan abahmu.


Muhammad Luqman, sungguh benar dengan lahirnya kamu rupanya sudah jauh waktu berangkat, menginjak hari-hari terkehadapan tanpa sempat dikejar masa-masa yang berlalu pantas. Sedikit demi sedikit, kekosongan itu kian mengisi jiwa. Bilakah mungkin penantian itu berlabuh?


p.s : Tenom banjir lagi. Sudah lebih lima kali dilanda air berlumpur. Sampai satu ketika, geli pada lumpur sudah tidak membawa makna apa-apa. Alah bisa tegal biasa. Cuti yang hanya begitu sahaja, pun dirasakan tidak memberi kepuasan. Hanya kepenatan dan sedikit kebosanan berdepan dengan situasi sehari-hari yang sama.


Tatkala semua rasa itu bersatu, ingin sahaja aku terbang pulang. Membawa segenap yang berbuku di hati. Sesalkah aku dengan takdir yang dipilih? Tegarnya membawa rajuk sehingga ke sini? Walhal, pengorbanan ini bukanlah penyelesaian terbaik. Kuatkan semangat ini, lantunkan kembali tabah yang dulu.